Jumaat, 23 Oktober 2009

LUAHAN HATI AHLI CAWANGAN..BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU MEMIKUL

ADAKAH BENAR IANYA DATANG DARI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ

Berat rasanya untuk menulis. Bimbang jika akal ini masih terkeliru. Benarkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNAA) yang menulis perkara tersebut… Saya masih cuba bersangka baik bahawa Tuan Guru diserabutkan oleh pandangan-pandangan sekeliling yang masih membesar-besarkan isu “perpaduan melayu Islam” atau “pimpinan pas yang pro umno”.

Terasa amat terkilan apabila TGNAA yang memulakan kehangatan ini. Mula-mula dulu, isu “kerajaan perpaduan”, kemudian isu “ustaz Nasha” sekarang timbul pula isu yang baru… Bagi TGNAA yang berada di peringkat atasan atau pembesar-pembesar PAS Kelantan mungkin tak rasa apa-apa menimbul dan membesarkan perkara-perkara seperti ini, tetapi bagi kami ahli PAS di peringkat bawahan amat terasa kesannya. Lemah rasa nak menggerakkan aktiviti tarbiyah jika pimpinan sendiri bercelaru. Tak upaya rasanya nak menggerakkan organisasi cawangan mahu pun kawasan apabila tengok karenah pimpinan yang sepertinya bertelagah.

Dalam kesempatan ini, saya ingin komen beberapa perkara :

1. Jangan ada sesiapa yang marah kalau ramai ahli yang kritik atau tegur TGNAA selepas ini kerana tulisan beliau sendiri telah mendatangkan dalil bahawa harus malah dituntut untuk mengkritik dan menegur pemimpin malah Nabi sendiri pun ditegur oleh Allah s.w.t.

2. TGNAA lebih merujuk kepada tulisan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang menulis tentang - antara factor kekalahan PAS di Bagan Pinang ialah isu-isu di Selangor disamping adanya pimpinan PAS yang dilihat pro-UMNO dengan menyebut beberapa nama seperti Dr Hasan Ali, Ust Nasha dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi (TGHAA). Sedangkan pandangan tersebut telah dijawab dan disangkal oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden), Dato’ Mustafa Ali (Setiausaha Agung), Ustaz Idris Ahmad (Ketua Penerangan) yang merupakan anggota dewan harian PAS Pusat.
3. Lebih menarik untuk dibincangkan bahawa pandangan Prof Dr Abdul Aziz Bari ini selari (atau mungkin merujuk) kepada beberapa pandangan pimpinan PAS seperti Dr Dzulkifli (yang tidak lagi dilantik sebagai Pengarah PPP) dan Ir Khalid Samad (dipecat dari jawatan Timb Pesuruhjaya PAS Selangor) yang memang kita ketahui sangat kontroversi di kalangan ahli PAS. Di sinilah menariknya untuk dibuat kajian.

4. Saya rasa, dari sekadar menerima pandangan Anual Bakri dan beberapa pembesar PAS Kelantan dalam isu ada pimpinan PAS yang Pro-UMNO ini, ada baiknya juga TGNAA dan ahli PAS sekalian membuat beberapa penelitian terhadap maklumat-maklumat berikut (maaf jika tidak berdasarkan siasatan rapi, cuma sekadar pandangan macam Prof Dr Aziz Bari juga) :

- Seperti adanya perancangan tertentu dari kalangan pimpinan baru PAS (yang timbul selepas era reformasi) yang tidak “sejiwa” dengan pimpinan yang sebati dengan PAS semenjak dari awal seperti Dr Dzulkifli (bekas pimpinan IRC), Dr Mujahid Yusuf Rawa (JIM/alami), Dr Lo’ Lo’ (JIM), Dr Mariah (JIM), Dato Jaafar Kamaruddin (ABIM-Pro-Anwar) dan lain-lain.

- Dr Dzulkifli dan Dr Mujahid Yusud Rawa adalah orang kuat IRC/JIM/alami yang terlibat dengan program “Indimaj” – penggabungan antara jamaah fikrah ikhwan di Malaysia. Mereka ini memang ada krisis dengan jamaah mereka yang sebelumnya kerana mempelopori pendekatan yang kononnya “dinamik” sementara geng-geng yang pro fikrah Ikhwan ni ingin menjaga ketulinan jamaah. Sekarang mereka bawa masalah dalam PAS juga dengan idea “dinamik” kononnya.

- Dr Mariah juga bermasalah dengan PAS kawasannya menurut sumber yang saya perolehi. Dia sepertinya hanya beranggapan PAS ini adalah sebuah gerakan politik bukan gerakan tarbiyah. Dia hanya melibatkan diri dengan aktiviti politik PAS, tetapi tidak terlibat dengan usrah kawasan atau muslimat PAS.

5. Jika kita meneliti dari masa ke semasa perkembangan dalam PAS, kita juga akan dapat melihat bila timbulnya isu puak Erdogan dan puak Erbakan dalam PAS. Ia bermula dari lawatan rasmi Pimpinan PAS ke Turkey. Di sana Dr Dzul bersama Hanifa Maidin telah mengadakan dialog dengan AKP dan Refah. Dr Dzul menyatakan bahawa jika situasi di Turki berlaku di Malaysia, PAS akan memilih cara pendekatan AKP pimpinan Erdogan. Benarkan PAS akan memilih pendekatan tersebut atau Dr Dzul sahaja? Ikhwan Muslimin pun ada mengkritik, menegur dan memberi nasihat kepada AKP yang dilihat agak liberal dalam pendekatannya yang dibimbangi akan melangkahi prinsip Islam.

6. Dalam pemilihan pimpinan PAS tahun 2004 di Kelantan, tersebar ketika itu adanya gerakan dari kumpulan ini yang diistilahkan oleh sesetengah perwakilan sebagai “anai-anai” yang mengangkat Ustaz Nasharuddin bagi mencabar Ustaz Hasan Syukri selaku Timbalan Presiden. Pada waktu itu, mereka melihat Ustaz Nasharuddin sebagai anak didik Ustaz Fadhil Noor adalah “pembuka jalan” kepada mereka di dalam tampuk kepimpinan PAS. Pada ketika itu juga “mereka” mencalonkan Ustazah Azizah dari Pahang untuk mencabar Ustazah Fatimah (isteri Ustaz Harun Taib) selaku ketua muslimat. Anda boleh melihat sewaktu Ustazah Azizah menjadi ketua muslimat, wajah siapa yang lebih menonjol dalam harakah dan program muslimat, kalau tidak wajah Dr Mariah dan gengnya.

7. Tetapi, setelah Ustaz Nasharuddin memegang jawatan tersebut, beliau rupanya tidak dapat dimanfaatkan oleh “geng anai-anai” tersebut lantaran beliau adalah pemimpin yang faham dan melalui tarbiyah jamaah semasa di peringkat kampusnya dahulu. Akhirnya kumpulan ini merancang agenda seterusnya. Namun Alhamdulillah, ahli PAS yang ditarbiyah dengan tarbiyah PAS menyedari rentak tari yang semakin tampak sumbangnya itu. Dalam pemilihan 2006 juga di Kelantan (rasanya), ahli yang pro tarbiyah PAS ini mencalonkan Ustazah Nuridah Salleh dan Wan Hasrina bagi mencabar Ustazah Azizah dan Dr Lo’ Lo’. Dr Mariah telah dikalahkan di peringkat kawasan lagi. Sementara untuk menunjukkan PAS ini tidak boleh dikawal oleh “anai-anai” tersebut, pihak pro Tarbiyah PAS ini mencalonkan Ustaz Harun Taib bagi mencabar Ustaz Nasharuddin walaupun sebenarnya mereka tidak pun berhasrat menaikkan Ustaz Harun sebagai Timbalan Presiden. Pencalonan itu hanya sebagai petunjuk dan amaran kepada puak “anai-anai” ini.

8. Geng “anai-anai” ini kemudiannya menyusun kembali agenda mereka. Nampaknya, mereka tidak mungkin mampu menggugat pemimpin senior dalam PAS yang sejati dan sebati ini. Maka idea “dinamik” mereka itu tidak dapat dilaksanakan. Pendekatan seterusnya ialah dengan menonjolkan “pemimpin muda” lain dalam PAS yang boleh dikawal oleh mereka. Dato’ Husam Musa adalah tokoh yang dilihat sebagai peluang mereka seterusnya. Selain dari dokongan pembesar-pembesar Kelantan, Husam adalah “penyejuk mata” kepada TGNAA. Orang yang mungkin dilibatkan sama dalam permainan ini ialah Annual Bakri, selaku pembantu dan pendamping TGNAA. Selepas PRU 2008, dengan jawatan sebagai ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri, YB-YB geng anai-anai ini merangka kembali agenda besar mereka. Ketika inilah menonjolnya seorang tokoh lama PAS yang sebelumnya “bertapa” kemudian dengan kemenangan sebagai AP Shah Alam, merasa besar kepala apabila di kelilingi oleh “anai-anai” ini.

9. Dalam pemilihan PAS 2009, agenda mereka ialah menaikkan tokoh-tokoh baru ini. Perancangan pertama menurunkan Ustaz Nasharuddin dan bonusnya ialah jika boleh menjatuhkan TG Haji Abdul Hadi. Demi menjaga sentimen ahli PAS yang sangat kasih terhadap Tok Guru Haji Abdul Hadi, maka mereka melalui Husam Musa dan pembesar PAS Kelantan beserta sentimen kenegerian Kelantan-Terengganu telah secara halus melibatkan TG Nik Abdul Aziz. Mereka memanfaatkan sepenuhnya kekangan yang ada pada TG Nik Abdul Aziz yang sering uzur serta sikap sangat percaya beliau kepada orang bawahannya di Kelantan, untuk mencapai hasrat dan cita-cita mereka. Di sini barulah TG Nik Abdul Aziz terlibat. Kalau ahli PAS sekalian mendampingi Tuan Guru dengan dekat, tuan-tuan akan menyedari kekangan ini. Mungkin inilah jua yang cuba diluahkan oleh anak beliau, Nik Abduh dalam tulisannya yang kontroversi dulu, tetapi beliau dihentam hebat. TGNAA sebenarnya sangat uzur. Lihatlah ketika beliau menyampaikan kuliah di Masjidnya setiap selepas Subuh Jumaat. Tidak sedikit dari urusan kerjanya diwakilkan kepada pembantu-pembantunya di Kelantan. Beliau memang sudah sesuai untuk berehat. Tetapi, situasi PAS dan rakyat di Kelantan masih memerlukan pengaruh beliau. Tidak perlulah kita membesarkan tentang kroniknya PAS Kelantan dengan “klik” dan “puak”nya. Malah ada pemerhati yang memberi pandangan bahawa factor kekalahan wakil PAS dalam Muktamar yang lepas adalah kerana “klik” sesame Kelantan inilah, bukan kerana factor luar. Masalah ini memerlukan perlunya TGNAA di Kelantan.

10. Saya sangat bersangka baik bahawa TGNAA, Dato’ Husam Musa, Ir Khalid Samad, Dr Hatta dan klain-lainnya bukanlah pemain wayang kulit sebenar. Bagi saya mereka ini orang baik yang mungkin secara tidak disedari, terpengaruh dengan geng anai-anai tadi. Pemain yang sebenar adalah penama anai-anai yang saya sebutkan tadi. Mungkin sahaja mereka menafikan. Kalau mereka nafikan, ini bermakna mereka semakin sebati dengan anai-anai tadi…

11. Pada pandangan saya, Muktamar Khas tidak perlu diadakan kerana ahli telah membuat keputusannya dalam muktamar yang lepas. Yang terpilih sudah terpilih. Hormatilah keputusan ahli. Ahli telah menghantar isyarat yang jelas bahawa mereka masih inginkan TG Haji Abdul Hadi memimpin PAS. Mereka masih mahukan Ustaz Nasharuddin memimpin PAS. Ahli juga telah memberi isyarat bahawa mereka suka dengan pimpinan yang komit dan setia seperti Ustaz Tuan Ibrahim, Saudara Salehuddin Ayub, Mahfuz Omar, Ustaz Idris, Ustaz Nasarudin Tantawi, Ustazah Nuridah dan sebagainya. Tunggulah tahun 2011, kita buat pemilihan baru.

12. Maafkan saya kerana tegur menulis perkara ini yang mungkin berbentuk kritikan dan mungkin berbentuk pembongkaran isu dalaman parti. Saya berani berbuat demikian kerena saya mencontohi teladan yang telah ditunjukkan oleh TG Nik Abdul Aziz. Dulu saya hanya memendamnya dan mendiamkan diri kerana mencontohi TG Haji Abdul Hadi, hari ini saya cuba pula mencontohi TG Nik Abdul Aziz dalam berterus terang dan menegur.

Saya tidak tahu apa hasil dari tulisan ini. Saya harap ada sesuatu yang dapat kita beri perhatian, khususnya ahli-ahli PAS. Semoga tulisan ini tidak menggemparkan seperti gemparnya tulisan Tok Guru tersebut…. Maafkan saya. Assalamualaikum wrt.- Oleh SetiaPemuda Detik Daily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan