Selasa, 31 Januari 2012

RASULULLAH... contoh teladan terbaik mendirikan, memakmurkan dunia dengan keadilan islam

Raja Abrahah, Pemerintah di Yaman telah membina sebuah gereja yang dikenali di kalangan Bangsa Arab sebagai 'al qullais'. Ia dibina di kawasan jajahannya, sana'a, Yaman.

Pembinaanya melibatkan sebahagian besar penduduk Yaman, melalui kerahan tenaga yang dilancarkan secara paksa. Apabila selesai pembinaanya, pakar-pakar binaan ini dihukum dengan hukuman potong tangan, kerana Abrahah tidak mahu sesiapa pun menandinginya dalam rekabentuk pembinaan sebuah rumah ibadat yang paling cantik dan hebat. Beliau beranggapan bahawa dengan pembinaan ini akan menjadikannya seorang yang masyhur dan dihormati di Semenanjung Tanah Arab.

Tujuan pembinaan gereja ini adalah bertujuan untuk memalingkan tumpuan orang ramai yang mengunjungi Tanah Haram Makkah setiap tahun. Mengikut sesetengah ulama’ sirah, pembinaan ini bertujuan untuk menghalang kebangkitan rasul akhir zaman yang akan lahir di Tanah Haram. Ini kerana penduduk yaman sebahagian besarnya adalah di kalangan mereka yang memahami Kitab Samawi iaitu mereka yang dikenali dengan golongan Ahlul Kitan, yang mengetahui isi kandungan kitab-kitan yang diturunkan Allah kepada Nabi-nabi a.s sebelum Baginda SAW. Iri hati Abrahah ini amat tinggi, ini kerana keadaan di Yaman dan Makkah adalah dua keadaan yang berbeza, Makkah tetap menjadi tumpuan orang ramai walaupun tanahnya kering kontang, suhunya panas, manakala yaman, walaupun tanahnya subur dan suhunya sejuk namun ianya tidak menjadi tumpuan ketika itu.

Mengikut ahli sejarah, lantai gereja ini diperbuat dari marmar bermutu tinggi, dindingnya diperbuat dari batu celupan emas yang diambil dari istana ratu Balqis, hiasan dalaman diperbuat dari emas dan perak, manakala mimbarnya diperbuat dari batu permata yang tinggi nilainya. Abrahah juga telah membina sebuah rumah seumpama kaabah yang sangat tinggi dan indah. mengikut ahli sejarah ketinggiannya akan menyebabkan kopiah (topi) sesiapa yang memakai akan terjatuh kerana terlalu tinggi. (mendongak kepala ketika melihatnya)

Setelah selesai pembinaanya, Abrahah mengirim seorang utusan yang bernama Hunatah al Humairi menemui pimpinan kota Maakah, Abd Mutalib. Beliau membawa 200 ekor unta sebagai hadiah kepada penduduk makkah jika sekiranya bersetuju dengan rancangan Abrahah untuk menjadikan gereja binaanya itu masyhur di segenap pelusuk semenanjung Tanah Arab serta menjadikan San’aa tempat tumpuan perdagangan dan aktiviti kemasyarakatan serta sosial dan budaya.

Setibanya Hunaitah di hadapan Kota Makkah, beliau menemui Abdul Muttalib dan berkata,"Wahai pemimpin Kota Makkah. sesungguhnya aku datang bukan bertujuan memerangi kamu. kedatangan kami adalah untuk meminta keizinan dari kamu untuk meruntuhkan rumah Ibadat ini (kaabah). tiada niat di hati kami untuk menumpahkan darah kalian". Diam sejenak Abd Mutalib kerana terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Hunaitah. Dalam fikirannya terbayang sejenak, rupa-rupanya ada manusia yang dengki dan iri hati dengan keharmonian dan ketenteraman kota suci ini.

Makkah yang menjadi tempat tumpuan setiap tahun dengan kedatangan sebahagian besar penduduk Semenanjung Tanah Arab untuk menunaikan haji dan berpesta di Pasar U'kaz, tempat yang menjadi tumpuan kesenian dan budaya, dengan persembahan syair dan syair yang terbaik akan digantung di pintu kaabah. Kaabah yang menjadai tempat pertukaran barang-barang dagangan orang desa dan kota. melepaskan penat bekerja sepanjang tahun dengan persembahan kebudayaan dan keseniaan di samping bersukaria. jika kaabah di runtuhkan apalah ertina kota makkah. Malah di sisi abd mutalib, kaaabah adalah warisan yang perlu di pertahankan.

Setelah sekian lama menyepikan diri, abd mutalib bersuara, " kami juga tiada hajat untuk memerangi kamu, tidaklah menjadi ketakutan kepada kami jika ianya berlaku, rumah ini adalah rumah Allah yang mulia, dibina oleh Ibrahim kekasihnya. Demi Allah kami akan mempertahankannya". Tegas kenyataan Abd Mutallib, beliau menolak pemberian 200 ekor unta yang ditawarkan sebagai membantah rancangan Abrahah.

Mendengar pemberiannya di tolak oleh Abd Mutalib, bertambah kuat azam dan keinginan Abrahah untuk meruntuhkan kaabah. baginya penolakkan itu mengundang padah pada agama anutan Abd Mutalib dan penduduk Makkah.

Abrahah menyiapkan kekutan tentera yang belum pernah digunakan dalam peperangan sebelum ini. Beliau menyiapkan tentera bergajah sebagai persiapan yang paling kukuh untuk tujuan yang besar ini. bagi Abrahah peperangan ini adalah merupakan peperangan yang paling penting dalam hidupnya dan sebagai penentu kepada kekuasaanya terhadap Semenanjung Tanah Arab.

Ibnu Kathir menceritan, Abrahah telah menyediakan seekor gajah yang gagah perkasa sebagai tunggangannya, yang diberi nama 'Mahmud' bersama dengan lapan ekor yang lain. Mengikut satu riwayat yang lain mengatakan dua belas, dengan satu tujuan, meruntuhkan Kaabah dengan sekali rempuh sahaja. Matlamatnya hanya satu, untuk menghapuskan kemuliaan tanah haram.

ORANG ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri masing-masing. Hiruk-pikuk suara teriakan kedengaran di sana-sini. Suasana menjadi kelam-kabut. Kepulan debu kemaraan tentera bergajah telah kelihatan walaupun masih jauh. Abrahah mengepalai serangan ini dengan matlamatnya yang satu iaitu untuk merobohkan Ka’abah di Kota Makkah supaya penduduk di Semenanjung Tanah Arab tidak lagi mengunjunginya setiap tahun untuk menunaikan haji sebaliknya datang ke Sana’, Yaman mengerjakan haji di Ka’abah yang dibinanya sendiri. Begitulah besarnya angan-angan Abrahah.

Abd. Muttalib yang menjadi pemimpin Kota Makkah menjadi cemas. Apa yang perlu dilakukannya, sedangkan tentera Abrahah semakin hampir. Dalam keadaan gawat seperti ini, hatinya bertambah sayu melihat Aminah yang sarat mengandung menunggu masa melahirkan bayi yang bakal memimpin ummah. Lebih menyedihkan lagi apabila Abd. Muttalib mengenangkan Aminah yang kehilangan suami tercinta ketika kandungannya berusia dua bulan. Saat-saat begini sudah tentu si isteri menginginkan suami sentiasa berada di sisi. Tapi apakan daya, Allah menghendaki perkara ini berlaku di atas utusanNya yang akan melaksanakan tugas dengan menggantungkan harapan sepenuhnya kepada penciptanya.

Orang ramai menunggu keputusan muktamad dari Abd. Muttalib. Beliau memerintahkan sepasukan tentera menghalang kemaraan tentera bergajah Abrahah manakala yang lain bersiap sedia di atas bukit. Kaum wanita dan kanak-kanak pula diperintahkan bersembunyi di atas bukit serta menanti tindakan yang akan dilakukan oleh Abrahah ke atas Ka’abah.

Abd. Muttalib bersama beberapa orang pemuda mengelilingi Ka’abah untuk menjadi benteng terakhir jika sekiranya Abrahah dapat memasuki Masjidil Haram. Abd .Muttalib berkata, “Aku bersumpah dengan Tuhan Ka’abah, sesungguhnya bagi rumah yang mulia ini ( Ka’abah) pasti ada tuhan yang menyelamatkannya”.

Abrahah dapat menewaskan tentera yang dikirim oleh Abd. Muttalib untuk menghalang kemaraannya dengan mudah. Beliau merasakan usahanya untuk memusnahkan Ka’abah seakan-akan sudah berjaya. Abrahah memerhatikan gajah tunggangannya yang diberi nama ‘Mahmud’ begitu setia dan taat pada setiap perintahnya. Tambahan pula ia adalah gajah yang paling kuat dan gagah, sesuai digunakan untuk tujuan yang baginya sangat mulia itu.

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, apabila hampir ke pintu gerbang Kota Makkah, seorang lelaki yang bernama Nafil bin Habib menyeru dengan suara yang lantang, “Wahai ‘Mahmud’ ! Sesungguhnya kamu berada di Tanah Allah yang mulia”. Mendengar seruan itu, gajah tunggangan Abrahah serta gajah-gajah yang lain berhenti lalu duduk menyembamkan kepala ke tanah tanda tunduk menghambakan diri kepada Allah dan rasa bersalah membantu Abrahah untuk memusnahkan rumah yang akan menjadi kiblat kepada umat Islam suatu masa nanti. Abrahah menjadi marah kerana belum pernah gajah-gajah itu berhenti kecuali dengan perintahnya. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk membangunkan gajah-gajah itu tetapi sia-sia belaka. Akhirnya Abrahah memerintahkan supaya dipukul dengan kapak pada kepala gajah tersebut dan diletakkan sendal di tengkuknya. Gajah tersebut tetap tidak bergerak.

Orang ramai yang berada di atas bukit menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh kehairanan. Akhirnya gajah yang bernama ‘Mahmud’ itu bangun dengan disertai oleh gajah-gajah yang lain. Tetapi ia tidak terus mara sebaliknya memusingkan badan ke belakang dan berjalan kembali ke Yaman.

Ketika itu pada dada langit kelihatan sekumpulan burung yang terlalu banyak - menurut Ibnu Kathir ia adalah sekumpulan burung hitam yang datang dari arah laut dan pada kaki serta paruhnya terdapat ketulan-ketulan batu. Ibnu Abbas menyifatkan sekumpulan burung itu dengan sejenis haiwan berterbangan seakan-akan burung yang tidak pernah dilihat oleh manusia sebelum ini. Setiap seekor membawa tiga ketulan batu, 2 biji di kaki dan sebiji di paruhnya.

Pemandangan menjadi mendung dengan kedatangan sekumpulan burung ini lalu menghujani tentera bergajah dengan batu-batu yang amat memedihkan. Sesiapa yang terkena batu ini akan mengalami luka yang amat parah. Allah s.w.t menurunkan wahyuNya kepada Nabi Muhammad s.a.w menceritakan peristiwa ini. Firman Allah Ta’ala dalam Surah al Fil ayat 1 hingga 5 yang bermaksud : “Apakah kamu tidak melihat bagaimana Allah bertindak terhadap tentera bergajah. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka’abah) sia-sia. Dan Dia telah mengirimkan sekumpulan burung. Yang menghujani mereka dengan batu-batu dari tanah yang terbakar. Lalu dijadikan mereka binasa seperti daun-daun yang dimakan (ulat)”.

Sebahagian besar tentera bergajah menemui ajal serta-merta. Sebahagiannya sempat lari tetapi mengalami luka yang amat parah dan akhirnya menemui ajal di negeri mereka sendiri. Abrahah sempat melarikan diri ke Yaman dalam keadaan parah dengan tangannya terpotong. Apabila sampai ke tempatnya, Abrahah menceritakan apa yang berlaku kepada tenteranya. Setelah selesai menceritakan apa yang menimpa mereka, Abrahah mati di negerinya sendiri dengan penuh penghinaan. Ia merupakan satu pengajaran kepada kaumnya agar jangan mencari kemegahan dengan meruntuhkan rumah ibadat. Menurut Ibnu Hisyam, ia adalah sebahagian mukjizat Nabi s.a.w yang berlaku sewaktu kelahiran baginda.

Setelah keadaan kembali reda, orang ramai kembali ke rumah masing-masing dan meneruskan kerja seharian. Abd. Muttalib bersyukur kepada Tuhan kerana menurunkan bantuan untuk menyelamatkan Ka’abah. Sebagai tanda kemenangan tersebut, Abd. Muttalib menyembelih beberapa ekor unta dan kambing serta mengadakan temasya dan keraian.

Saidatina Aminah binti Wahb selamat melahirkan bayi pertama hasil perkongsian hidupnya dengan Abdullah bin Abd. Muttalib. Tapi sayang, suaminya tidak sempat menatap wajah anak comel ini. Semasa mengandungkan bayi ini, Aminah telah bermimpi beberapa kali melihat cahaya yang menerangi timur dan barat sehingga cahaya itu menerangi Istana Basrah di Syam (Syria).

Nabi s.a.w dilahirkan di rumah Abi Talib. Rumah itu dijadikan masjid oleh Khaizuran , iaitu ibu kepada Harun ar Rasyid pada zaman pemerintahan Abbasiah.

Aminah memandang anak kecil ini. Wajahnya putih bersih, dahinya luas, rambutnya sangat hitam dan tebal, lebat keningnya, mata hitamnya yang besar serta kemerahan pada pinggirnya serta panjang bulu matanya menambahkan keindahan dan menjadikan baginda sangat menarik. Diriwayatkan oleh at Tabari bahawa Nabi s.a.w dilahirkan dalam keadaan sudah berkhatan. Beberapa orang perempuan yang berada di sisi Aminah begitu kagum dengan bayi ini. Belum pernah dilahirkan bayi seumpamanya. Lalu salah seorang di kalangan mereka berkata, “Wahai Aminah ! Sesungguhnya engkau melahirkan pemimpin bagi umat ini”. Aminah menjawab, “Aku memohon penjaganya dengan Tuhan yang satu daripada setiap kejahatan manusia. Aku namakan bayi ini dengan nama Muhammad”. Lalu Aminah meletakkan Muhammad di atas ribanya. Kemudian Muhammad menggenggam segenggam tanah dan Aminah menuruti apa yang dilakukan oleh baginda. Lalu baginda memandang ke langit.

Perkara pertama yang dilakukan oleh Aminah apabila selamat melahirkan Nabi s.a.w ialah mengutuskan seorang hamba kepada Abd. Muttalib menyampaikan berita gembira kelahiran cucunya yang dinanti-nantikan selama ini. Mendengar perkhabaran itu, Abd. Muttalib merasakan dirinya adalah orang yang paling gembira di dalam dunia ini. Lebih-lebih lagi cucunya itu adalah lelaki dari keturunan Abdullah yang merupakan anak yang paling dikasihinya.

Abd. Muttalib mendukung Rasulullah mengelilingi Ka’abah dan kemudian mengisytiharkan nama baginda dengan nama Muhammad. Seorang pemuda bertanya, “Mengapakah kamu wahai pemimpin Kota Makkah menamakan bayi ini dengan nama Muhammad ?”. Jawab Abd. Muttalib, “Aku berharap dia disanjung oleh penduduk bumi dan dipuji oleh penduduk langit”. Kelahiran Rasulullah disambut dengan penuh meriah. Pemimpin-pemimpin Kota Makkah bergilir-gilir mendukung baginda. Orang ramai pula merasa tidak puas menatap wajah baginda dan sekali-sekala mereka menyentuh kulit baginda yang putih bersih.

Kebiasaan orang-orang Arab mengadakan sambutan kelahiran pada hari ketujuh selepas kelahiran seseorang bayi. Bapa saudara Rasulullah s.a.w, Abu Lahab telah mengorbankan seratus ekor unta untuk kenduri meraikan kelahiran baginda serta memerdekakan hambanya Suwaibah al Aslamiah yang memberitahu kepada beliau tentang kelahiran Nabi sa.w. Begitulah gembiranya keluarga baginda dengan kelahirannya.

Berkata Qadhi Iyadh, sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w terdapat enam orang yang bernama Muhammad. Mereka ialah Muhammad bin Ubaihah, Muhammad bin Muslimah al Ansari, Muhammad bin Barra’, Muhammad bin Sufian, Muhammad bin Hamran al Ja’fari dan Muhammad bin Khuzaie. Menurut al Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, sebelum kelahiran baginda terdapat 15 orang yang bernama Muhammad. Kebanyakan bapa-bapa mereka ini adalah orang yang mengetahui selok-belok kitab samawi, mereka mengharapkan anak mereka menjadi nabi akhir zaman. Apabila lahirnya Rasulullah s.a.w, Allah mengilhamkan kepada datuknya dengan nama ini.